Apa itu Sifilis?

Sifilis adalah penyakit jangkitan seksual yang berpunca daripada kuman bakteria yang dikenali sebagai Treponema pallidum.

Sifilis boleh menjangkiti lelaki dan wanita.


Bagaimana saya boleh dijangkiti sifilis?


Anda boleh dijangkiti sifilis dengan:

• Menyentuh lepuh atau ruam sifilis pada seseorang walaupun lepuh atau ruam berkenaan sukar dilihat.
• Melakukan hubungan seks oral, vagina atau dubur tanpa menggunakan kondom.
• Tersentuh atau terkena darah yang berjangkit.
• Wanita hamil boleh menjangkiti bayi mereka dengan sifilis.

Sifilis dan Bayi (Sifilis Kongenital)


Seorang wanita hamil boleh menjangkiti bayinya dengan sifilis melalui darah. Bayi berkenaan kadangkalanya akan dilahirkan dalam keadaan mati atau tercedera. Gejala ini dipanggil Sifilis Kongenital dan ia amat jarang ditemui di Australia.

Bayi sering dilahirkan tanpa simptom sifilis, tetapi mereka kemudiannya boleh jatuh sakit dengan teruk.

Bagaimana boleh saya tahu jika saya dijangkiti sifilis?


Sifilis seringkali tidak mempunyai sebarang simptom, jadi orang yang dijangkiti sifilis mungkin berasa sihat dan baik. Anda hanya akan tahu melalui sebuah ujian darah jika anda dijangkiti sifilis.

Wanita patut menjalani ujian sifilis dalam tempoh masa 12 minggu pertama kehamilan atau semasa lawatan pertama mereka ke doktor. Sesetengah wanita mungkin akan diperiksa kembali untuk sifilis bila tempoh kehamilan mereka sudah lebih lanjut.

Apa yang saya perlu buat jika saya ada sifilis?


• Hentikan hubungan seks, biarpun dengan menggunakan kondom, sehingga tempoh rawatan sifilis anda sudah selesai.

• Jika anda dijangkiti sifilis, beritahu pasangan atau pasangan-pasangan seks anda agar mereka boleh diperiksa.

Doktor anda akan membantu anda untuk memutuskan siapa yang perlu diberitahu bahawa anda dijangkiti sifilis dan beliau boleh membantu anda untuk memberitahu mereka.

Bolehkah sifilis dirawat atau disembuhkan?


• Ya, sifilis boleh dirawat dan disembuhkan dengan suatu siri suntikan. Tempoh masa rawatan akan bergantung pada tahap jangkitan sifilis berkenaan. Pastikan anda menghadiri setiap temujanji doktor anda.
• Setelah rawatan sifilis anda sudah selesai, anda mesti menjalani ujian lain pula untuk memastikan anda sudah benar-benar sembuh.
• Wanita boleh mendapatkan rawatan sifilis pada tahap awal kehamilan untuk menghalang bayi mereka daripada dijangkiti sifilis.
• Anda boleh dijangkiti sifilis lagi walaupun anda sudah sembuh daripada jangkitan sifilis pada masa lalu.

Bagaimana boleh saya melindungi diri saya dari dijangkiti sifilis?


• Pastikan anda dan pasangan seks anda diperiksa untuk sifilis. Kerap jalani pemeriksaan untuk sifilis jika anda mempunyai lebih daripada seorang pasangan seks atau pasangan seks anda melakukan hubungan seks dengan orang lain. Risiko jangkitan sifilis akan meningkat sejajar dengan bilangan pasangan seks yang anda ada.
• Pastikan anda dan pasangan anda dirawat supaya anda tidak akan saling menjangkiti antara diri anda dan pasangan anda atau menjangkiti orang lain dengan sifilis.
• Gunakan kondom semasa melakukan seks vagina, dubur dan oral, biarpun dengan pasangan tetap anda jika anda juga melakukan hubungan seks dengan orang lain.
• Bincangkan penggunaan kondom dengan pasangan seks baru anda sebelum anda melakukan hubungan seks dengan mereka.
• Jangan lakukan hubungan seks, biarpun dengan menggunakan kondom, dengan seseorang yang dijangkiti sifilis, sehingga tempoh rawatan mereka sudah selesai.

Bagaimana boleh saya pastikan agar saya tidak menjangkiti orang lain dengan sifilis?


• Jangan lakukan hubungan seks dengan sesiapa, biarpun dengan menggunakan kondom, sehingga rawatan anda sudah selesai.
• Kerap jalani pemeriksaan untuk sifilis jika anda mempunyai lebih daripada satu pasangan seks atau jika pasangan anda telah melakukan hubungan seks dengan orang lain. Anda boleh dijangkiti sifilis lagi.

Di mana boleh saya dapatkan nasihat dan bantuan?


Anda boleh mendapatkan bantuan daripada:

• Doktor
• Klinik kesihatan seksual
• Perkhidmatan kesihatan masyarakat
• Pusat perancangan keluarga

Maklumat lanjut