Apakah hepatitis B?

Hepatitis B merupakan nama virus dan nama penyakit yang diakibatkan oleh virus ini.

Hepatitis B mengakibatkan penyakit hati. Meminum alkohol terlalu banyak boleh juga mengakibatkan penyakit hati;  termasuk juga dadah, bahan kimia tertentu dan virus lain tertentu.

Hati anda sangat penting untuk kesihatan anda. Apabila hati tercedera, ia mungkin tidak berfungsi dengan baik dan boleh mengakibatkan anda sakit teruk.

Hepatitis B kadang-kadang dipanggil “hep B”.


Bagaimana saya boleh dijangkiti hepatitis B?


Hepatitis B berjangkit apabila darah atau cairan seks daripada seseorang penghidap hepatitis B masuk ke dalam aliran darah anda. Anda boleh menghidap hepatitis B walaupun jumlah darah atau cairan seks terlalu kecil untuk dilihat.

Untuk bayi dan kanak-kanak

  • seseorang ibu yang menghidap hepatitis B boleh memberikan penyakit ini kepada bayinya semasa bersalin jika bayi tidak segera divaksin
  • seseorang kanak-kanak dengan hepatitis B boleh memberikan penyakit ini kepada kanak-kanak lain yang belum divaksin, melalui luka dan bisul terbuka

Untuk orang dewasa

Anda boleh menghidap hepatitis B daripada:

  • seks faraj, dubur atau mulut tanpa kondom
  • berkongsi jarum, picagari atau alat suntik lain termasuk sudu
  • membuat tatu atau menindik tubuh dengan peralatan kotor
  • berkongsi berus gigi, pisau cukur atau kikir kuku
  • kemalangan dengan jarum atau percikan darah yang dijangkiti

Anda tidak boleh menghidap hepatitis B daripada:

  • berpeluk
  • bercium
  • berkongsi makanan dan alat makan
  • makan makanan yang dimasak oleh seseorang yang menghidap hepatitis B
  • gigitan serangga atau haiwan
  • air peluh
  • membasuh pakaian
  • bersin atau batuk
  • berkongsi bilik mandi atau tandas
  • kolam renang

Bagaimanakah saya tahu sama ada saya menghidap hepatitis B?


Kebanyakan orang tidak mengalami tanda atau gejala, dan tidak berasa sakit. Satu-satunya cara anda akan tahu adalah dengan menjalani ujian darah.

Apabila pertama kali menjangkiti hepatitis B anda mungkin mengalami:

  • muntah
  • demam
  • kehilangan selera makan
  • air kencing berwarna gelap
  • rasa sakit pada bahagian hati (di bawah tulang rusuk di sebelah kanan)
  • rasa sakit pada sendi-sendi
  • mata dan kulit berwarna kuning (penyakit kuning)

Apakah akibat virus hepatitis B terhadap tubuh saya?


Hepatitis B masuk ke dalam sel-sel hati anda dan mengakibatkan penyakit hati. Tubuh bekerja keras melawan virus dalam hati. Proses ini mencederakan hati dan, setelah bertahun-tahun, boleh mengakibatkan hati tidak berfungsi lagi.

Bagi kebanyakan orang dewasa, tubuh  menyingkirkan hepatitis B dalam jangka masa 6 bulan setelah dijangkiti, dan anda tidak boleh dijangkiti semula.

Namun begitu bagi kanak-kanak kecil dan sesetengah orang dewasa, kadang-kadang tubuh tidak dapat melawan virus ini, dan hepatitis B tetap berada dalam tubuh  seumur hidup. Ini dipanggil ‘hepatitis B kronik’ dan boleh mengakibatkan kerosakan hati, parut hati (sirosis) dan barah hati. Ubat boleh mengurangkan kerosakan hati dan mencegah barah hati.

Apa yang perlu saya lakukan sekiranya saya menghidap hepatitis B?


Anda MESTI berjumpa dengan doktor anda setiap enam hingga dua belas bulan, walaupun anda berasa sihat. Ini  adalah kerana hepatitis B tidak mengakibatkan anda berasa sakit. Sekiranya anda berasa sakit, ini berlaku kerana hati sudah mengalami kerosakan.

Di samping ujian darah, doktor anda mungkin melakukan ujian Fibroscan®. Fibroscan® merupakan imbasan hati yang menunjukkan kepada doktor anda sama ada terdapat kerosakan hati atau parut hati (sirosis) dan betapa teruknya keadaan ini . Doktor akan membuat keputusan sama ada anda memerlukan ubat atau perlu ke klinik hati atau berjumpa dengan doktor pakar untuk hati.

Adakah hepatitis B boleh dirawat atau disembuhkan?


Ya, hepatitis B boleh dirawat.

Namun tidak semua orang yang menghidap hepatitis B memerlukan ubat. Doktor anda akan memberitahu anda sama ada anda memerlukan ubat.

Ubat tidak akan menyembuhkan hepatitis B. Namun begitu ubat boleh mengawal kerosakan pada hati anda, mengurangkan kemungkinan  mengidap barah hati dan membantu hati sembuh dengan sendiri.

Bincanglah dengan doktor anda tentang ubat mana yang paling baik bagi anda.

Bagaimana boleh saya membantu hati saya?


  • minum kurang alkohol atau sama sekali tidak meminum alkohol
  • makan gizi sihat yang seimbang, tanpa terlalu banyak lemak
  • berhenti atau kurangkan merokok
  •  kerap bersenam
  • menguruskan tekanan terhadap diri anda dan mendapat sokongan
  • beritahu doktor anda jika anda sedang menggunakan sebarang ubat seperti ubat herba, vitamin, atau ubat-ubatan Cina. Sesetengah bahan ini boleh mencederakan hati, terutamanya jika digunakan pada sukatan yang tinggi atau untuk tempoh yang lama
  • lindungi diri anda daripada jangkitan lain kerana jangkitan lain boleh menjejaskan kesihatan anda dan mengakibatkan kerosakan hati yang lebih teruk:
  • dapatkan pelalian untuk hepatitis A
  • jangan berkongsi jarum, picagari dan sudu untuk menyuntik dadah
  • gunakan kondom

Bagaimana saya boleh mencegah hepatitis B atau mengelakkan penjangkitan kepada orang lain?


Pelalian

Pelalian merupakan cara terbaik untuk menghalang hepatitis B daripada merebak.

Pelalian sangat selamat dan memberi anda perlindungan lebih daripada 95%.

Anda menerima 2 atau 3 suntikan dalam tempoh 6 bulan, bergantung pada umur anda.

Di Australia, semua bayi di bawah umur 1 tahun menerima 4 suntikan percuma dalam tempoh 6 bulan. Pelalian disyorkan untuk kanak-kanak berumur 10 hingga 13 tahun yang tidak menerima suntikan apabila masih bayi.

Sekiranya seseorang ibu menghidap hepatitis B, bayi akan menerima suntikan tambahan dalam tempoh dua belas jam setelah dilahirkan. Ini memberi bayi tersebut perlindungan yang terbaik. Apabila bayi berumur 9 bulan, mereka diuji untuk memastikan bayi mempunyai ketahanan terhadap hepatitis B.

Untuk mengelakkan penjangkitan hepatitis B kepada orang lain:

  • pastikan orang yang anda berhubungan rapat dengan anda menerima pelalian
  • gunakan kondom
  • jangan berkongsi berus gigi, pisau cukur atau alat peribadi lain yang mungkin terkena darah, termasuk darah kering
  • jangan biarkan orang lain menyentuh luka terbuka pada badan anda kecuali jika  memakai sarung tangan
  • jangan berkongsi jarum, picagari dan peralatan lain untuk menyuntik dadah
  • jangan menderma darah, sperma, organ atau tisu badan
  • berbincang dengan doktor anda mengenai pelalian yang akan diperlukan oleh bayi anda sekiranya anda sedang mengandung atau ingin hamil

Adakah saya perlu memberitahu sesiapa jika saya menghidap hepatitis B?


  • Anda harus memberitahu keluarga anda, orang yang tinggal bersama anda dan pasangan seks anda supaya mereka dapat diuji dan divaksin. Doktor anda boleh membantu anda melakukan hal ini.
  • Jika anda ingin menyertai Angkatan Pertahanan Australia (ADF), anda mesti memberitahu mereka.
  • Anda mesti memberitahu syarikat insurans anda. Jika anda tidak memberitahu, mereka mungkin tidak akan membayar anda jika anda jatuh sakit atau tercedera.
  • Jika anda seorang pekerja kesihatan yang melakukan prosedur perubatan di mana anda tidak dapat melihat tangan anda (seperti pakar bedah atau doktor gigi), anda mesti memberitahu majikan atau penyelia anda dan meminta nasihat daripada doktor pakar.

Anda tidak perlu memberitahu majikan anda, orang yang anda bekerja atau belajar bersama anda, atau sahabat anda.

Memberitahu orang seperti doktor gigi atau doktor anda akan membantu mereka memberi anda rawatan perubatan yang terbaik, tetapi ini masih pilihan anda. Jika anda membuat keputusan untuk memberitahu mereka, mereka tidak boleh memberitahu orang lain.

Anda mungkin ingin berbincang dengan orang lain yang dapat memahami dan menyokong anda. Luangkan masa anda untuk menentukan siapa yang anda rasa boleh anda percayai.

Di mana boleh saya dapatkan bantuan dan nasihat?


Terdapat banyak persatuan komuniti hepatitis B di Australia yang boleh memberi nasihat dan membantu anda.


Dapatkan sokongan daripada komuniti hepatitis

Maklumat lanjut