Apakah HIV?

HIV merupakan nama virus dan nama penyakit yang diakibatkan oleh virus ini.

H = human (manusia) – orang yang dijangkiti penyakit ini

I = immunodeficiency (kekurangan imun) – penyakit ini menyerang sistem imun anda

V = virus – kuman yang mengakibatkan anda sakit


Bagaimana saya boleh dijangkiti HIV?


Anda tidak akan tahu dengan melihat seseorang sama ada mereka menghidap HIV. Penghidap penyakit ini sering berasa sihat.

HIV hidup dalam darah, cairan seks dan susu ibu. Anda dijangkiti HIV jika sebarang cairan ini masuk ke dalam aliran darah anda. Cara paling biasa dijangkiti HIV adalah daripada:

  • tidak menggunakan kondom semasa hubungan seks
  • berkongsi jarum, picagari atau sudu untuk menyuntik dadah
  • menindik badan serta membuat tatu atau upacara adat secara tidak steril
  • susu ibu
  • hubungan darah ke darah, contohnya pemindahan darah dan pemindahan organ di negara-negara yang tidak menguji untuk HIV. Pemindahan darah dan pemindahan organ di Australia adalah selamat apabila semua peraturan dipatuhi.

Anda tidak boleh menghidap HIV daripada:

  • berpeluk
  • batuk atau bersin
  • berkongsi makanan atau minuman
  • makan makanan yang dimasak oleh seseorang penghidap HIV
  • pemindahan darah dan prosedur perubatan lain di Australia
  • menggunakan tandas atau tempat mandi yang sama seperti seseorang  pengidap HIV
  • gigitan serangga atau haiwan
  • hubungan sehari-hari dengan penghidap HIV
  • kolam renang atau gimnasium

Apakah akibat virus HIV terhadap tubuh saya?


HIV menyerang sistem imun anda. Sistem imun anda melawan jangkitan dan melindungi anda daripada jatuh sakit. HIV melemahkan sistem imun, yang kemudiannya tidak dapat melindungi anda. Sekiranya anda tidak menerima ubat HIV, anda boleh menderita sakit teruk

Adakah HIV dan AIDS perkara yang sama?


Tidak.

HIV merupakan virus yang membunuh sel-sel imun dalam tubuh.

AIDS bukan sejenis virus.

AIDS merupakan penyakit jarang yang menyerang tubuh apabila sistem imun anda sangat lemah. Ini hanya berlaku setelah HIV membunuh kebanyakan sel imun anda. Ini boleh mengambil masa bertahun-tahun.

AIDS jarang berlaku di Australia kerana terdapat ubat-ubatan yang boleh mencegah penyakit ini.

Di Australia, menghidap HIV tidak bermakna anda akan meninggal akibat AIDS.

Bagaimanakah saya tahu sama ada saya menghidap HIV?


Satu-satunya cara untuk mengetahui perkara ini adalah menjalani ujian darah.

  • jika ujian ‘negatif’ , anda tidak menghidap HIV
  • jika ujian ‘positif’ , anda menghidap HIV

Ramai orang tidak mengetahui sama ada mereka menghidap HIV kerana mereka berasa sihat. Namun apabila pertama kali menjangkiti HIV, anda mungkin mengalami:

  • sakit kepala
  • demam
  • keletihan
  • kelenjar bengkak
  • sakit tekak
  • ruam
  • sakit otot dan sendi
  • ulser di dalam mulut
  • ulser pada kemaluan
  • berpeluh pada waktu malam
  • cirit-birit

 

Namun gejala-gejala ini juga boleh disebabkan oleh influenza, selesema teruk atau penyakit lain. Sekiranya anda berasa anda mungkin menjangkiti HIV, anda mesti berjumpa doktor dan meminta ujian.

Apa yang perlu saya lakukan sekiranya saya HIV positif?


Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah berbincang dengan doktor. Doktor juga boleh mengatur agar anda berbincang dengan orang lain seperti kaunselor jika anda mahu.

Doktor akan memberi anda ubat HIV. Ubat-ubatan ini akan membolehkan anda hidup lama dengan sihat.

Adakah HIV boleh dirawat atau disembuhkan?


HIV tidak boleh disembuhkan tetapi ubat-ubatan boleh merawat penyakit ini.

Ubat mengurangkan jumlah virus dalam darah sampai takat begitu rendah, tidak dapat dilihat  walaupun  dengan mikroskop. Kami memanggil perkara ini ‘bebas virus tidak dikesan’ dan ini bermakna anda tidak akan jatuh sakit kerana HIV dan akan mempunyai jangka hayat yang normal. Jika anda tetap menggunakan ubat dengan betul, ini juga bermakna anda tidak akan menjangkitkan HIV kepada orang lain.

Bagaimanakah saya dapat melindungi diri saya daripada menjangkiti HIV?


  • jalani ujian dan tentukan sama ada anda atau pasangan seks anda menghidap HIV: jika anda mempunyai lebih daripada seorang pasangan (atau pasangan anda berhubungan seks dengan orang lain), jalani ujian secara berkala. Risiko menjangkiti HIV makin tinggi makin banyak pasangan seks anda.
  • gunakan kondom
  • jalani ujian dan dapatkan rawatan untuk jangkitan seks (STI). Menghidap STI meningkatkan risiko menjangkiti HIV atau menjangkitkan penyakit ini kepada orang lain. Mintalah pasangan anda diuji dan dirawat untuk STI juga.
  • bertanyalah kepada doktor anda tentang profilaksis pra-dedah (PrEP).  PrEP adalah ubat untuk menghalang anda daripada menjangkiti HIV. Ubat ini adalah bagi orang yang tidak menghidap HIV tetapi mempunyai risiko yang tinggi menjangkiti penyakit ini.

‘Risiko tinggi’ bermakna:

    • orang yang pasangannya menghidap HIV
    • orang yang mempunyai lebih daripada seorang pasangan seks
    • lelaki yang berhubungan seks dengan lelaki
    • orang yang tidak menggunakan kondom setiap kali
    • orang yang berkongsi jarum, picagari, air dan sudu untuk menyuntik dadah
  • gunakan peralatan suntik dadah dan air steril (bersih) sahaja: jangan sekali-kali berkongsi peralatan anda dengan orang lain. HIV boleh berjangkit daripada seseorang kepada orang lain walaupun titisan darah terlalu kecil untuk dilihat dalam jarum suntikan.
  • membuat tatu dan menindik badan: gunakan studio yang berlesen sahaja di mana jarum dan peralatan lain dibersihkan dengan betul atau dibuang setelah digunakan. Selalu pastikan mereka menggunakan jarum dan dakwat baru untuk setiap pelanggan.
  • Pemindahan darah dan prosedur perubatan lain: di Australia segala darah, produk darah dan organ diuji dan selamat. Namun pemindahan darah, produk darah dan organ mungkin tidak selamat di negara-negara lain.

Bagaimanakah saya boleh memastikan saya tidak memberi HIV kepada orang lain?


  • bincanglah dengan doktor anda tentang menggunakan ubat HIV. Ubat HIV menjadikan jumlah virus dalam darah sangat rendah. Apabila jumlah virus sangat rendah, anda tidak dapat memberi HIV kepada orang lain. Ini dipanggil Rawatan sebagai Pencegahan (Treatment as Prevention – TasP).
  • diuji secara berkala: walaupun anda menggunakan ubat HIV, anda masih perlu diuji secara berkala. Terdapat pelbagai jenis virus HIV dan lebih daripada satu jenis HIV mungkin dihidap pada masa yang sama. Ubat tersebut mungkin perlu ditukar sekiranya ini berlaku.
  • jalani ujian untuk STI: Ubat HIV tidak mencegah anda daripada menjangkiti STI. HIV lebih mudah berjangkit (atau dijangkiti) jika anda menghidap STI. Jalani ujian STI secara berkala dan dapatkan rawatan jika hasil ujian ‘positif’. Pasangan seks anda juga patut diuji dan dirawat.
  • gunakan kondom: gunakan kondom setiap kali anda berhubungan seks
  • jangan berkongsi jarum, picagari atau sudu untuk menyuntik dadah
  • susu ibu: Jika anda menggunakan ubat HIV dan anda ingin menyusui bayi anda, berbincanglah dengan doktor HIV anda.

Adakah saya perlu memberitahu sesiapa jika saya menghidap HIV?


Di bawah undang-undang anda mesti memberitahu:

  • pasangan seks anda. Di beberapa negeri di Australia, anda mesti memberitahu pasangan seks anda sebelum anda berhubungan seks dengannya. Setiap negeri berbeza jadi bertanyalah sebelum anda melakukan perjalanan.
  • Pasukan Pertahanan Australia. Anda tidak boleh ikut serta jika anda menghidap HIV.
  • jika anda seorang juruterbang
  • jika anda membeli jenis insurans tertentu seperti insurans kesihatan atau perjalanan
  • jika anda ingin menderma darah atau organ seperti ginjal. Anda tidak boleh menderma darah atau organ jika anda menghidap HIV.

Anda tidak perlu memberitahu:

  • majikan
  • rakan kerja
  • rakan bilik
  • keluarga
  • tuan tanah
  • guru
  • rakan sekelas
  • sahabat

Orang yang patut anda beritahu ialah:

  • doktor anda supaya boleh membantu anda untuk ujian dan ubat-ubatan
  • kaunselor atau orang lain yang menjadi sebahagian daripada rawatan HIV anda supaya mereka dapat membantu anda

Di mana boleh saya dapatkan bantuan dan nasihat?


Terdapat banyak persatuan masyarakat HIV di Australia yang boleh memberi nasihat dan membantu anda.


Dapatkan sokongan daripada komuniti HIV

Maklumat lanjut