Apa itu Gonorea?

Gonorea adalah penyakit jangkitan seksual (STI) yang berpunca daripada kuman bakteria yang dikenali sebagai Neisseria gonorrhoeae.


Bagaimana saya boleh dijangkiti Gonorea?


Anda boleh dijangkiti gonorea dengan melakukan seks vagina, dubur atau oral dengan orang yang menghidapi gonorea.

Anda boleh dijangkiti gonorea daripada orang lain walaupun mereka tidak mempunyai apa-apa simptom.

Wanita hamil boleh menjangkiti bayinya sewaktu ia dilahirkan. Bayi berkenaan boleh mendapat jangkitan mata yang serius dan mungkin menjadi buta.

Anda tidak boleh dijangkiti gonorea melalui penggunaan tandas awam, kolam renang awam atau sentuhan umum dengan orang lain.

Apa yang akan terjadi kepada badan anda apabila ia dijangkiti Gonorea?


Gonorea boleh menjangkiti tekak, dubur, uretra (saluran kencing), serviks (leher rahim) dan mata.

Jika tidak dirawat, gonorea boleh menyebabkan jangkitan pada kulit dan sendi.

Gonorea juga boleh menyebabkan meningitis. Meningitis adalah jangkitan yang menyerang selaput otak.

Bagi wanita, gonorea boleh menyebabkan jangkitan serius dan menghalangnya daripada mengandung.

Wanita hamil boleh menjangkiti bayinya sewaktu ia dilahirkan. Bayi berkenaan boleh mendapat jangkitan mata yang serius dan mungkin menjadi buta.

Bagaimana boleh saya tahu jika saya dijangkiti Gonorea?


Ramai orang sering tidak menyedari bahawa mereka dijangkiti gonorea kerana mereka tidak mempunyai sebarang tanda atau simptom.

Anda hanya akan tahu melalui sebuah ujian jika anda dijangkiti gonorea. Ia adalah sebuah ujian air kencing yang cepat dan mudah.

Satu lagi cara adalah dengan mengambil swab atau sapuan daripada bahagian yang berjangkit dan menguji hasil sapuan itu untuk gonorea.

Tanda dan Simptom Gonorea

Bagi lelaki

• Perasaan bisa atau pedih sewaktu kencing
• Terdapat lelehan dari zakar. Lelehan ini sering berwarna putih atau kuning
• Buah zakar bengkak dan sakit
• Rupa kemerah-merahan di sekeliling lubang air kencing
• Lelehan atau rasa tidak selesa pada bahagian dubur
• Jangkitan mata

Bagi wanita

• Lelehan lendir vagina yang tidak biasa berlaku
• Pendarahan vagina
• Rasa sakit ketika kencing
• Sakit pelvis, khususnya semasa bersetubuh
• Lelehan atau rasa tidak selesa pada bahagian dubur
• Jangkitan mata

Apa yang saya perlu buat jika saya dijangkiti Gonorea?


• Doktor anda akan memberi ubat kepada anda.
• Beritahu pasangan atau pasangan-pasangan seks anda untuk menjalani pemeriksaan. Jika mereka dijangkiti gonorea, mereka boleh menjangkiti anda dengan gonorea kembali atau menjangkiti orang lain dengan gonorea.
• Doktor anda akan membantu anda untuk memutuskan siapa yang perlu diberitahu bahawa anda dijangkiti gonorea. Doktor anda boleh membantu anda untuk memberitahu mereka.

• Jangan lakukan hubungan seks dengan sesiapa, biarpun dengan menggunakan kondom, sehingga rawatan gonorea anda sudah selesai.

Bolehkah Gonorea dirawat atau disembuhkan?


Gonorea boleh dirawat dan disembuhkan dengan satu suntikan antibiotik.

Selalu beritahu doktor anda jika anda telah melawat ke luar negara. Ini adalah kerana sesetengah jenis gonorea tidak lazim ditemui di Australia dan ia memerlukan ubat khas.

Anda boleh dijangkiti gonorea lagi walaupun ia sudah disembuhkan pada masa lalu.

Bagaimana boleh saya melindungi diri saya daripada dijangkiti Gonorea?


• Pastikan anda dan pasangan seks anda diperiksa untuk gonorea. Kerap jalani pemeriksaan jika anda mempunyai lebih daripada seorang pasangan seks atau pasangan seks anda melakukan hubungan seks dengan orang lain. Risiko jangkitan gonorea akan meningkat sejajar dengan bilangan pasangan seks yang anda ada.
• Pastikan anda dan pasangan anda dirawat untuk gonorea supaya anda tidak akan saling menjangkiti satu sama lain antara diri anda dan pasangan anda atau menjangkiti orang lain dengan gonorea.
• Gunakan kondom semasa melakukan seks vagina, dubur dan oral. biarpun dengan pasangan tetap anda jika anda juga melakukan hubungan seks dengan orang lain.
• Bincangkan penggunaan kondom dengan pasangan seks baru anda sebelum anda melakukan hubungan seks dengan mereka.

Bagaimana boleh saya pastikan agar saya tidak menjangkiti orang lain dengan Gonorea?


• Jangan lakukan hubungan seks dengan sesiapa, biarpun dengan menggunakan kondom, sehingga rawatan anda sudah selesai dan anda tidak mempunyai sebarang simptom lagi.
• Gunakan kondom setiap kali anda melakukan hubungan seks, khususnya dengan pasangan seks baru.
• Kerap jalani pemeriksaan untuk gonorea jika anda mempunyai lebih daripada satu pasangan seks atau jika pasangan anda telah melakukan hubungan seks dengan orang lain.

Di mana boleh saya dapatkan nasihat dan bantuan?


Anda boleh mendapatkan bantuan daripada:

• Doktor
• Klinik kesihatan seksual
• Perkhidmatan kesihatan masyarakat
• Pusat perancangan keluarga

Maklumat lanjut