Apa itu Chlamydia?

Chlamydia adalah penyakit jangkitan seksual (STI) yang biasa berlaku dan berpunca daripada kuman bakteria yang dikenali sebagai Chlamydia trachomatis.


Bagaimana boleh saya dijangkiti chlamydia?


Anda boleh dijangkiti chlamydia jika anda tidak menggunakan kondom semasa anda melakukan seks vagina, dubur atau oral dengan orang yang dijangkiti chlamydia.

Anda tidak boleh dijangkiti chlamydia melalui penggunaan tandas awam, kolam renang awam atau sentuhan umum dengan orang lain.

Apa yang akan terjadi kepada badan anda apabila ia dijangkiti chlamydia?


Bagi lelaki

• Chlamydia menjangkiti lelaki melalui uretra (di dalam zakar), lubang dubur atau kerongkong.
• Chlamydia menyebabkan rasa sakit dan bengkak di dalam buah zakar dan boleh menjangkiti tiub saluran yang membawa sperma.

Bagi wanita

• Chlamydia menjangkiti wanita melalui serviks, lubung dubur atau kerongkong. Jika ia tidak dirawat, chlamydia boleh menghalang wanita daripada mengandung.
• Wanita yang dijangkiti chlamydia kadangkalanya boleh menjangkiti bayi mereka sewaktu ia dilahirkan. Ini akan menyebabkan jangkitan paru-paru atau mata kepada bayi tersebut.

Bagaimana boleh saya tahu jika saya dijangkiti chlamydia?


Ramai orang tidak menyedari bahawa mereka dijangkiti chlamydia kerana mereka tidak mempunyai sebarang tanda atau simptom.

Sebuah ujian air kencing anda, yang boleh dilakukan dengan cepat dan mudah, akan dapat memberitahu anda jika anda dijangkiti chlamydia. Anda juga boleh melakukan ujian chlamydia ini sendiri.

Bagi lelaki

Tanda dan simptom chlamydia bagi lelaki termasuklah:
• Rupa kemerah-merahan atau rasa sakit pada lubang air kencing
• Perasaan bisa atau kepedihan semasa kencing
• Lelehan jernih dari zakar.

Bagi wanita

Tanda dan simptom chlamydia bagi wanita termasuklah:
 Lelehan vagina yang tidak biasa berlaku
 Pendarahan rambang (khususnya selepas bersetubuh)
 Sakit pelvis, termasuk semasa bersetubuh
 Perasaan bisa atau pedih sewaktu kencing

Apa yang perlu saya buat jika saya dijangkiti chlamydia?


Dapatkan ubat daripada doktor anda.

Beritahu pasangan seks anda bahawa anda dijangkiti chlamydia dan suruh mereka untuk menjalani pemeriksaan. Pasangan seks anda juga mungkin dijangkiti chlamydia dan boleh menjangkiti anda lagi. Mereka juga boleh menjangkiti orang lain dengan chlamydia.

Jika pasangan seks anda enggan menjalani pemeriksaan chlamydia, mintakan ubat tambahan daripada doktor anda untuk mereka.

Selepas tiga bulan, anda dan sesiapa yang telah melakukan hubungan seks dengan anda patut menjalani pemeriksaan untuk chlamydia lagi.

Bolehkah chlamydia dirawat atau disembuhkan?


Ya. Chlamydia mudah dirawat dan disembuhkan dengan hanya satu pil sahaja. Jika chlamydia terlewat dikesan, ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk dirawat dan disembuhkan.

Jangan lakukan hubungan seks selama seminggu selepas anda mengambil ubat chlamydia anda.

Anda boleh dijangkiti chlaymydia lagi walaupun anda sudah pernah dijangkitinya sebelum ini.

Bagaimana boleh saya melindungi diri saya daripada dijangkiti chlamydia?


  • Pastikan anda dan pasangan seks anda diperiksa: Kerap jalani pemeriksaan jika anda mempunyai lebih daripada satu pasangan seks atau jika pasangan anda telah melakukan hubungan seks dengan orang lain. Risiko jangkitan chlamydia akan meningkat sejajar dengan bilangan pasangan seks yang anda ada.
  • Dapatkan rawatan: Suruh pasangan seks anda untuk menjalani pemeriksaan dan dapatkan rawatan juga agar anda berdua tidak akan saling menjangkiti diri anda atau orang lain.
  • Gunakan kondom semasa melakukan seks vagina, dubur atau oral.
  • Bincangkan penggunaan kondom dengan pasangan seks baru anda sebelum anda melakukan hubungan seks.

Bagaimana saya boleh memastikan agar saya tidak menjangkiti orang lain dengan chlamydia?


  • Gunakan kondom setiap kali anda melakukan hubungan seks, khususnya jika anda melakukan hubungan seks dengan pasangan baru.
  • Kerap jalani pemeriksaan jika anda mempunyai lebih daripada satu pasangan seks atau jika pasangan anda telah melakukan hubungan seks dengan orang lain. Anda boleh dijangkiti chlaymydia lagi walaupun anda sudah pernah dijangkitinya sebelum ini.

Di mana boleh saya dapatkan nasihat dan bantuan?


Anda boleh mendapatkan bantuan daripada:

• Doktor
• Klinik kesihatan seksual
• Perkhidmatan kesihatan masyarakat
• Pusat perancangan keluarga

Maklumat lanjut